Wednesday, March 23, 2011

Pantun Hobi Saya


Sungai Perak berteluk-teluk
Ikannya banyak jangan dituba
Joran di tangan hendak dipeluk
Ikan di laut tak kunjung tiba


Warna-warni jalur pelangi
Habis hujan bertitis embun
Bertanam bunga subur mewangi
Indah taman orang berkebun


Hujung dahan pauh dikait
Buat ulam makan kenduri
Sulam-menyulam kait-mengait
Cantik menjahit busana sendiri


Pisang tanduk berbuah lebat
Enak dimakan dimasak pengat
Masak-memasak santapan hebat
Dihidang sedap pasti teringat

Tuesday, March 22, 2011

Pantun Simpan Duit

Gambar kredit dari sini.

Garang sungguh anak beruang
Kasihan semut mati tertekup
Duit pitih ongkos atau wang
Banyak mana pun tak pernah cukup


Tempat jatuh lagikan dikenang
Inikan pula tempat beraya
Simpan tak boleh habisnya senang
Manalah mahu menjadi kaya


Cubit kiri kanan yang sakit
Janganlah dicubit hingga parah
Sikit-sikit lama-lama membukit
Bila menggunung jangan ditarah

Monday, March 21, 2011

Pantun Mari Bekerja



Letak hantaran di dalam dulang
Susun cantik di atas meja
Hari Isnin hari cemerlang
Bangkitlah semangat kita bekerja


Hendak ditegak benang yang basah
Manakan boleh dipaksa-paksa
Semua kerja memanglah susah
Barulah manisnya boleh dirasa


Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Waktu kerja biarlah lasak
Minda jangan sayu-sayuan

Sunday, March 20, 2011

Pantun Hari Minggu


Merdu bunyi tiupan seruling
Sayup dengar di hujung desa
Sudah tengahari tidur berguling
Hendak mandi malasnya rasa



Ikan kaloi si ikan tembakul
Berenang-renang di tepi kali
Kain kotor berbakul-bakul
Kumpul seminggu basuh sekali





Terang sungguh bulan purnama
Indah menyinar malam yang gelap
Hujung minggu terasa lama
Makan tak kenyang tidur tak lelap


Kedek-kedek si anak itik
Lari menyusup bawah jambatan
Sudah bersolek berpakaian cantik
Mahu berjumpa permata intan






Pantun Rajuk Pujuk



Simpan emas dalam perahu
Pinggan kaca retak seribu
Hati tertusuk siapalah tahu
Pendamkan luka di dalam kalbu


Guruh berdentum angin membingit
Hujan lebat membawa sejuk
Kalau lagaknya tinggi melangit
Dia merajuk tak payah pujuk


Senyum manis nampak bersopan
Ikal rambut wajah rupawan
Bila mulut muncung ke depan
Bebelnya butir tak tentu tujuan


Lemak manis badak berendam
Puteri mandi pemanis hidangan
Rajukku bukan rajuk berdendam
Maaf boleh dilupa jangan

Saturday, March 19, 2011

Pantun Rasa Hati



Gambar dari blog ini.

Hendak makan buah kepayang
Buang kulitnya ke dalam kotak
Hendak dibuang kurasa sayang
Hendak disimpan mana nak letak


Kuatnya ombak menderu-deru
Terbang tinggi si burung helang
Hati nak pergi bagai diseru
Bilalah mahu dijemput pulang


Merah kelopak si bunga mawar
Kembang mewangi di taman sari
Senyum manis bagaikan penawar
Lelah penat pun muka berseri

Pantun bunga(Cahaya)



Sakura. Kredit dari blog ini


Hendak disunting si bunga melur
Malangnya tumbuh di taman larangan
Kalau mawar sudah kau hulur
Awas durinya tertusuk jangan


Kembang kelopak si bunga raya
Warnanya merah kuning dan putih
Selit sekuntum buat bergaya
Banyak sangat tengok pun letih


Balung ayam si bunga matahari
Dipetik orang hujung purnama
Anggerik dan orkid nama diberi
Tahukah tuan bunganya sama


Bunga kertas si bunga sakura
Tumbuhnya ia di lain benua
Bunga plastik bunga berpura
Bagi seorang dapat semua


Bunga lavender ungu menyerlah
Disusun celah jambangan lili
Kisah cinta budak sekolah
Bunga sekuntum berkongsi beli

merong mahawangsa

Aku terasa nak wat review filem pulak. Hehehehe...aku dah tengok Merong Mahawangsa hari Jumaat lepas lagi. Tengok kat Alamanda. Alamak...malas plak nk taip banyak-banyak. Tengok je lah poster2 ni. Kredit kpd google dan beberapa blogger. Filem ni banyak giler poster ek????








Tapi aku minat dia ni jer.....hehehe
"Empangan sudah dibuka, manakan boleh ditahan airnya"

Friday, March 18, 2011

Pantun Rajin Kerja



Mawar berduri indah jambangan
Dititip orang buat hadiah
Kerja kita lambang kecemerlangan
Mestilah dengan bersusah payah


Duri bukan sebarang duri
Duri nibong tajam berbisa
Tingkat usaha motivasi diri
Baru boleh dikenang jasa


Julang tinggi patung cendana
Diusung rakyat hadiah diraja
Bodek-membodek takkan ke mana
Kuatkan tekad ikhlas bekerja

pantun mengorat (zaman dulu takde bunyi cencorot lagi)



Merah bukan hitam pun bukan
Warna-warni tikar mengkuang
Di depan kasih di belakang rakan
Sedih berpisah mana nak buang


Halus sungguh jarum peniti
Disemat cermat hias selendang
Puas sudah diintai hati
Mengapa masih tidak memandang


Silang-silang si daun pandan
Buat wangian pulut hantaran
Dibilang-bilang ku rasa padan
Bilalah masa nak tukar gelaran